Maya Iris Blog Header

Pages

Wednesday, November 23, 2016

FUGITIF

Menakluk dunia. Itu agenda Konsortium. Untuk dipersembahkan kepada 'Raja Besar' yang berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Namun, perancangan itu terencat akibat campur tangan tidak sengaja dua orang rakyat Malaysia. Pasangan suami isteri ini perlu dihapuskan walau dengan apa cara sekalipun.

Demi keselamatan, Dr. Ehsan dan Nur Sayang menjadi pelarian tanpa rela.

"Jangan terpisah. Selagi kita bersama, kita kuat."  - Nur Sayang.

Tregedi menimpa. mereka terpaksa melarikan diri lagi. Bersembunyi di sebuah tempat terpencil. Namun, igauan ngeri itu belum berakhir.

Serangan Konsortium terhadap ahli keluarganya membuatkan Dr. Ehsan kembali ke Mesir. Meminta pertolongan Arielle. Tapi, bayaran yang diminta adalah perpisahan dengan isteri tercinta.

"Kita mesti berhadapan dengan realiti, sayang. Sampai bila kita mahu hidup dalam alam fantasi? Hidup dalam mimpi? Hidup dalam angan-angan? Setiap dongeng, ada pengakhirannya. Bagi kita, kisah kita berakhir hari ini." - Dr. Ehsan.

Bagaimana Nur Sayang meneruskan hidup? Bertemukah mereka akhirnya? Berjayakah Konsortium merealisasikan agenda mereka?

Tuesday, November 15, 2016


Beginilah rupa cover siri ketiga dalam trilogi Fugitif.

Hero: Dr. Ehsan
Heroin: Nur Sayang

Akhirnya terbit juga siri ketiga ni. Ingat, tak? Kisah mereka bermula dengan novel MAHAR CINTA CINDERELLA. Kemudian sambung sekuel berjudul KONSPIRASI SUAMI. Siri ketiga diberi judul FUGITIF. Insya Allah akan membuat kemunculan pertama sempena Ekspo Buku Malaysia, 14-18 Disember 2016 bertempat di PWTC.

Jumpa di sana.
Sebenarnya, saya tak sangka pula bebelan fb saya akan tersiar dalam The Vocket. Asalnya saya tulis artikel panjang tu sebab saya geram orang selalu bandingkan novel, drama adaptasi dengan Harry Potter. Beza sangat tu. Tak adil kalau bandingkan drama tv dengan filem box-office. Lagilah tak adil kalau bandingkan drama tv tempatan dengan filem box-office luar negara. Paling tak adil kalau bandingkan novel tempatan dengan filem box-office luar negara. Nak banding biarlah sama kelasnya.

Klik link di bawah untuk versi The Vocket.

Novel Dan Drama Adaptasi Dikritik, Novelis Jelaskan Tentang Kepercayaan Karut Sesetengah Orang Berkenaannya

Ini versi asal bebelan saya itu.

Saya ni bukan jenis suka update status panjang-panjang. Tapi dunia penulisan dihebohkan lagi dengan kepercayaan karut sesetengah orang tentang novel dan drama adaptasi. Jadi, saya nak tulis karangan panjang.

Mula-mula sekali, korang kata penulis kaya sebab dapat royalti berkepuk-kepuk. Realitinya royalti dibayar mengikut peratusan. Selalunya antara 5% – 12% dari harga di kulit buku. Bayangkanlah kalau buku harga RM20, penulis dapat RM2 setiap buku. Kalau buku laku, dapatlah banyak. Tapi taklah sampai berkepuk-kepuk. Kalau buku tak laku sebab korang dok canang jangan beli, sikitlah penulis dapat royalti. Silap haribulan tak dapat langsung sebab tak cover modal penerbit.

Tahu tak, ada penulis tu ibu tunggal. Yang mengharapkan royalti untuk tampung sara hidup, nak sekolahkan anak, beli baju raya. Bagi mereka, menulis itu kerja. Mereka tak kacau korang pun, tapi apa hal korang cuba tutup pintu rezeki mereka?

Korang fikir penulis dapat buku free, jadi korang pun minta buku free. Oh tidak. Penulis pun kena beli buku sendiri. Yalah, ada diskaun. Tapi paling banyak pun 50%. Jadi, janganlah minta buku free dari penulis. Selalunya yang dapat buku free ini bukan pembaca tegar. Pembaca tegar saja yang sanggup menabung untuk beli buku.

Lepas tu korang kata semua novel cinta tentang uda dan dara. Kalau korang anggap semua novel cinta tu tentang cinta Uda dan Dara, korang belum cukup lama hidup, kot. Atau korang kurang jumpa orang. Atau korang belum cukup kenal Allah. Tahu tak, cinta tu datangnya dari Allah. Antara nama-nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Pengampun. Kasih, sayang, kasihan, memaafkan, itu semua lahir dari rasa cintalah.

Kemudian korang kata penulis kuat berangan pulak. Semua yang ditulis adalah angan-angan belaka. Tahu tak, untuk menulis sesebuah buku, penulis kena baca banyak buku. Supaya fakta yang ditulis tu betul.
Kalau tak betul nanti korang juga yang kecam. Paling kurang pun penulis kena baca buku dari penerbit yang sama untuk mengenali stail dan genre penerbit itu.

Dah habis kutuk novel, korang kata novel sama hampeh dengan drama adaptasi. Tahu tak, drama adaptasi tak ambil pun 100% dari novel. Paling banyak 30% kot. Novelis tak ada kuasa dalam skrip drama. Lainlah kalau novelis itu tulis skripnya juga. Kemudian bila dah jadi skrip, mungkin 50% tak ikut skrip.Sebab kalau hari shooting tu pelakonnya baru saja kena marah ngan Pak Guard, baru datang period, lupa bawa baju sendiri sebab tak ada sponsor, hari hujan, itu akan ubah mood dan feel. Jadinya, skrip suruh hero pandang heroin dengan pandangan kasih sayang dan sebut “I love you”, pelakonnya pandang macam nak telan orang dan sebut “I love you” pun macam nak telan orang.

Janganlah bandingkan drama adaptasi dengan Harry Potter. Harry Potter tu epal, drama adaptasi jambu batu. Cuba bandingkan dengan Desperate Housewives atau Mistresses. Barulah sesuai. Itulah, terlalu agungkan produk luar negara sampai filem dengan soap opera pun tak reti beza.

Janganlah bandingkan pelakon tempatan dengan pelakon overseas. Pelakon overseas masuk kelas lakonan supaya senang dapat job. Itupun perlu bersaing dengan ribuan yang datang audition. Tahu tak, bila pembikin filem overseas nak lamar pelakon asing, mereka akan tonton filem yang dibintangi oleh pelakon itu, tanpa sound. Mereka nilai melalui ekspresi muka saja. Pelakon tempatan? Kita nilai melalui muka jer. Itupun kira baguslah boleh berlakon. Korang ingat senang ke orang Melayu/Islam nak cakap: “I love you”, “aku cinta padamu”, “saya sayang awak” dengan penuh perasaan pada orang yang bukan suami/isteri dia, walaupun sekadar lakonan. Dengan suami/isteri sendiri pun belum tentu selalu lafazkan, kan?

Korang mual dengan drama adaptasi, korang attack penulis novelnya. Padahal korang tak baca pun. Penulis tahu siapa yang baca dan siapa yang tidak. Sebab dalam proses kami menulis, kami terpaksa menjadi watak-watak yang kami cipta. Dari situ, kami ada kuasa membaca fikiran orang. Hehehe.

Saya, Maya Iris penulis novel. Memang saya sengaja masukkan cinta dalam novel thriller saya. Bacalah, tak hilang macho korang kalau baca pun.